Sudah puas ku cuba untuk melelapkan mata ini walaupun sekejap cuma, namun diriku masih tidak mampu mengalihkan perhatian mindaku ini yang masih ligat memikirkan jalan penyelesaian yang terbaik untuk permasalahanku.
Kualunkan zikir-zikir hingga membasahi bibirku namun masih belum juga mampu untuk melenakanku. Ternyata begitu seksanya apabila nikmat Allah S.W.T itu telah ditarik. Aku menangis.
Ya Allah, betapa sukarnya untuk membuat pilihan . Apa juga keputusan yang ku buat, pasti ada hati yang bakal terluka, walau hakikatnya aku lah yang pertama akan merasai luka itu.'Aku buntu Ya Allah,"
Kubangkit dari tempatku berbaring lalu mencapai buku kecil yang pernah kubeli suatu ketika dahulu, namun tidak pernah kuteliti isi kandungannya. Ia bertajuk 'MISTERI SOLAT SUNAT ISTIKHARAH'. Setelah berwuduk, aku menunaikan solat sunat istikharah itu, buat pertama kali dalam jiwaku terasa gementar saat bibir melafazkan niat, menyatakan tujuan bertemu Allah di saat manusia lain sedang enak diselimuti gebar.
Cemburunya aku! Air mata tidak tertanggung dek kelopak, lalu meluncur laju membasahi telekung. Betapa kerdilnya terasa, sehingga mahu membuat pilihan pun harus meminta bantuan Allah S.W.T.
Kurasakan itulah solatku yang paling khusyuk, yang pernah aku lakukan. Tidak pernah aku merasakan diri aku sedekat ini dengan Penciptaku. Air mata semakin laju saat aku kulantunkan doa solat istikharah. Ya Allah, aku mohon pilihan kepadaMu dengan ilmuMu, aku mohon petunjuk dengan kudratMu, dan aku mohon kurniaMu yang Maha Agung.
"Sesiapa yang terluka Ya Allah, Engkau ubatilah luka mereka. Aku tidak mampu, lalu aku berserah kepada-Mu Ya Allah,"
Aku lena dalam air mata. Nikmatnya hanya Allah sahaja yang mengetahui. Esoknya, aku dipertemukan dengan hamba Allah yang mampu menolongku membuat pilihan. Melalui perbincangan dengannya, aku semakin jelas dengan keputusan yang bakal aku lakukan.
Hidup ini dibentangkan dengan pelbagai pilihan. Mahu atau tidak, kita terpaksa memilih antara dua atau lebih jalan yang terbentang. Malah, hampir kesemua rutin dalam kehidupan kita memerlukan kita untuk menilai dan memilih.
Kutitipkan nukilan ini dengan niat agar sesiapa yang sedang merasa tersepit, mahupun yang sedang buntu untuk memilih agar meluahkan kebuntuan tersebut kepada Allah S.W.T, salah satu caranya adalah dengan mengerjakan solat sunat istikharah.
1 comments:
Mengenai keputusan apa sahabatku? =)
Saya pun sekarang sedang beristikarah juga. Ada pilihan besar perlu buat. Hehe. Dah dpt dah benda tu, tp nak confirm dan kuatkan hati, betul ke tak nak go on .
Memang nak buat apa-apa pun, biarlah Allah yang pilihkan untuk kita di samping kita usaha , dan dapat keberkatan dan keredhaan Allah.
Kan Sumayyah =)
Post a Comment