Ana mulakan nukilan ini....
Mari kita renung sejenak,
Hidup kita ini cuma sebagai penumpang.Apabila diibaratkan sebagai penumpang,sudah tentulah kita mesti akur dengan sebarang ketetapan.Misalnya,jika kita menumpang di sebuah rumah,terpaksalah kita mematuhi segala peraturan dan syarat-syarat yang ditentukan oleh si pemilik rumah itu.Kita tidak boleh berkelakuan atau bertindak sewenang-wenangnya,apatah lagi untuk menjadikan rumah itu hak milik kita...
Demikianlah pula hidup kita di muka bumi ini. Kita adalah penumpang di dunia yang fana, sementara menanti ketibaan saat kematian yang tidak dapat dipastikan detik waktunya. Seisi alam dan cakerawala,termasuklah diri kita ini adalah milik Allah S.W.T. Jadi,hidup kita keseluruhannya cuma menumpang ihsan dan rahmat-Nya.
Allah S.W.T. menciptakan dunia ini, lengkap dengan segala keperluan manusia seperti langit,bumi,air,api,angin,matahari dan sebagainya. Diri kita ini dilengkapi akal dan anggota yang sempurna serta dikurniakanNya pula rezeki untuk dinikmati.
Walau betapa kaya,bijak,hebat,gagah, atau berkuasanya kita, tetap juga kita hidup dengan menumpang rahmat Allah kerana kita tidak punya apa-apa kuasa untuk berbuat sebarang kehendak melainkan dengan izin Allah.

Menginsafi hakikat hidup kita yang menumpang rahmat Allah, sepatutnya kita akan sentiasa tunduk dan patuh kepada setiap ketetapan Nya. Tentunya sebagai penumpang, kita merasa malu,segan dan takut untuk berbuat sekehendak hati kita, kerana setiap langkah dan tindak kita akan dipersaksikan kelak...

0 comments:
Post a Comment